Sunday, August 16, 2009

Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang, muliakan kucing


Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.

Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.

Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti.

Wallahualam...

Regards,
Cik Nad

Saturday, August 15, 2009

Arak punca pesakit gila, saraf paling ramai di hospital.


ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda: "Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit" (riwayat Muslim).

Walaupun begitu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Orang Islam mula bertanyakan perihal arak sebagaimana dinyatakan al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya."

Ayat ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun, larangan ke atas arak tidak dinyatakan dengan jelas.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat meminum arak menagih kesabaran dan ketabahan oleh peminumnya. Pada peringkat awal untuk menghilangkan ketagihan arak peminum arak yang aktif mungkin terkena 'sawan' atau tabiat meracau yang berpanjangan.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan selepas satu kejadian pada majlis jamuan antara Muhajirin dan Ansar di mana arak menjadi salah satu bahan hidangan. Apabila ramai mabuk, mereka mula bermegah-megah dan kemudiannya bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan-ketulan tulang yang terdapat dalam hidangan makanan. Apabila rasa mabuk hilang, mereka mula menyesal, insaf dan berasa berdosa atas tindakan mereka itu.

Pada waktu itulah, al-Quran menyatakan bahawa judi dan arak adalah dilarang kepada semua umat Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud: " Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu )dari melakukan perbuatan itu)"

Sejak peristiwa itu sehinggalah ke saat ini, orang Islam di seluruh dunia adalah orang yang paling kurang berdepan dengan masalah ketagihan arak.

Sudah jelas, bahawa sesetengah jenayah yang berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca dari gejala arak. Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan adanya bahaya arak .

Profesor AJ Arberry pula mengatakan: "Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malahan mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat penyakit ahmar atau lumpuh. Selain itu seorang yang telah mabuk akibat arak akan hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain."

Profesor Muhammad Farid Wejdi, penyusun Ensiklopedia Islam menjelaskan: "Tidak pernah manusia menerima pukulan yang paling hebat seperti pukulan arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jikalau dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi-pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak."

Segala sesuatu keputusan ada di tangan kita sendiri..gunakan akal untuk berfikir,dan mohonlah pada yang ESA agar segalanya dipermudahkan..InsyaALLAH.

Regards,
Cik Nad.

Friday, August 14, 2009

Dengki dan irihati biarlah pada tempatnya.

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.

(Riwayat Hadith al-Bukhari) Huraian

1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.

2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:

i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.

ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.


Wednesday, August 12, 2009

Coretan Sekeping Hati


~ " Aku bukan seorang cendekiawan agung yang hebat dengan kata-kata,pengalamanku cetek..aku tidak pernah bermandikan peluh disawah bendang untuk mendapatkan sebiji beras,tapi aku mempunyai sekeping hati yang tulus dan telus,tiada sempadan.Yang tidak pernah mengharapkan balasan,tidak menginginkan pujian dan tidak hipokrit pada diri sendiri.Keupayaan ku hanyalah MEMBERI..mungkin wang dan harta dunia bukanlah pemberian yg aku hulurkan,tetapi aku gantikan semua itu dengan MASA dan WAKTU..kalau perlu..aku berlari,kerna aku tetap aku..selagi jantungku berdegup hingga tiba saat terhenti.. " ~

Regards,
Cik Nad.

Friday, August 7, 2009

‘Sabar itu indah’

ISLAM sangat mementingkan pembinaan peribadi yang murni. Antara sikap atau nilai yang menjadi teras kepada keperibadian umat Islam yang sangat dituntut ialah bersikap sabar. Ini kerana sikap sabar itu adalah panduan yang dinyatakan sendiri dalam kehidupan Rasulullah s.a.w dalam menelusuri kehidupan dan kita sebagai pengikutnya wajar mengaplikasikan amalan sikap murni ini dalam segenap bidang yang diceburi.

Dalam kehidupan sehari-hari kita mungkin terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang sentiasa melingkari ruang masa dan tempat. Mungkin dalam sehari seseorang menempuh persoalan yang sangat rumit hingga membingungkan akal dan merungsingkan hati.

Justeru, mereka yang tidak sabar dan cepat berputus asa pasti akan mengambil sikap terburu-buru tanpa memikirkan baik atau buruk, sama ada sesuai dengan kehendak agama atau tidak. Dalam keadaan itu, tindakan tanpa berfikir panjang atau sikap berputus asa akan menguasai diri.

Maka tidak hairan kebelakangan ini didapati kejadian cubaan membunuh diri semakin berleluasa. Inilah akibat kurangnya sifat sabar di atas sesuatu masalah atau cubaan hidup di dunia. Tetapi sebagai seorang Islam yang beriman, seseorang itu mesti melalui apa saja kejadian atau masalah yang dihadapi dengan bersikap tenang sambil berdoa dan berserah kepada Allah.

Dalam surah Al Syura ayat 43, Allah berfirman yang bermaksud, “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk perkara yang diutamakan.”

Di sini yang dimaksudkan dengan sikap bersabar ialah kesanggupan untuk menanggung segala perkara yang tidak disukai atau yang menyusahkan dirinya semata-mata takut kepada Allah dan mengharapkan pertolongan Allah.

Kata Nabi Daud a.s, “Berakhlaklah kamu dengan akhlakku. Salah satu daripada akhlakku ialah aku sangat sabar.”

Legenda Perancis Napoleon Bonaparte ada menyatakan, “Orang perlu bersabar dan tenang tanpa tergesa-gesa dalam memikirkan sesuatu, tetapi perlu cepat dalam melaksanakannya.”

Hakikat yang tidak dapat dielakkan sebagai manusia, hidup di dunia sememangnya dihidangkan dengan landskap dan ekologi penghidupan yang penuh berliku. Mungkin pada satu-satu ketika kita ditimpa penyakit kronik yang memerlukan kaedah pengubatan lama dan menanggung kos tinggi.

Dalam kes seperti ini, seseorang itu pasti mengeluh dan berkeluh-kesah dengan penyakit yang menimpa dirinya. Tetapi seseorang yang kuat iman akan menganggap ketika itu dia sedang diuji Allah dan bersedia untuk menghadapi keadaan itu dengan penuh reda sambil berikhtiar gigih untuk berubat.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud, “Wahai orang- orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwa kepada Allah”.

Sikap sabar itu dinyatakan berulang-ulang dalam al- Quran sebagai peringatan kepada manusia supaya tidak cepat berputus asa daripada pertolongan Allah. Kata Nabi Yusof a.s, “Sabar itu indah dan kepada Allahlah tempat memohon pertolongan.”

Kepentingan sikap sabar itu diakui seorang tokoh Barat yang terkenal, Edmund Burke. Katanya, “Dengan kesabaran kita memperoleh hasil lebih daripada dengan kekuatan kita.”

Manakala seorang lagi tokoh akademik Barat yang turut menyetujui pentingnya nilai sikap sabar ini ialah Arnold Glassow. Katanya, “Kunci semua hal adalah kesabaran, bukankah anda memperoleh anak ayam dengan jalan mengeram terlebih dulu dan bukan dengan memecahkannya.”

Sebenarnya apa saja masalah hidup yang menimpa manusia adalah kaedah Allah untuk menguji iman hamba-Nya sama ada tebal atau nipis iman itu.

Mungkin dalam keadaan diri seseorang itu lapang, sihat dan kaya kekuatan iman itu sekadar di bibir, tetapi ketika ditimpa bencana dan masalah hidup kita akan dapat gambaran konkrit bagaimana sikap seseorang berdepan dengannya. Contohnya sakit.

Pada masa sihat kita mungkin lalai untuk mengingati Allah dan tidak menjaga serta menuruti segala yang diperintahkan atau yang dilarang. Kita hanya ikut apa saja kehendak hati dan nafsu dengan gaya hidup keterlaluan dan melampaui batas seperti gaya pemakanan tanpa berfikir baik atau buruk.

Sebaliknya, apabila kita ditimpa penyakit kita ingat kepada Allah dan pada waktu inilah segala suruhan dan larangan-Nya kita ingat. Allah minta kita bersikap sederhana dalam segala hal, tetapi sebaliknya yang dilakukan. Hikmah di sebalik perintah dan larangan Allah tidak pernah direnungi.

Dalam surah Al Ankabut ayat 2-3, Allah berfirman yang bermaksud, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Dalam ayat ini dijelaskan hubungan antara manusia dengan kehidupan adalah hubungan antara ujian dan cubaan.

Dalam Islam ujian semasa menghadapi kesusahan atau sesuatu yang tidak disenangi seperti penyakit, kemiskinan atau kemalangan, dikira ujian yang ringan berbanding ujian Allah kepada manusia yang dilimpahi kemewahan, kesihatan anggota tubuh badan atau kelapangan waktu. Ini kerana pada masa susah sama ada kerana ditimpa penyakit, kemalangan dan sebagainya ia akan menyebabkan seseorang begitu cepat untuk kembali kepada Allah, tetapi jika diuji dengan kesenangan atau kesihatan yang segar bugar, mungkin menyebabkan manusia itu menjadi leka dan asyik dengan apa mereka miliki tanpa lagi bersyukur dan berhati-hati dengan nikmat Allah.

Justeru, jika kita sedang diuji dengan kesusahan, sama ada mungkin diserang penyakit, dibelenggu hutang yang banyak, kesusahan mengendalikan rumah tangga dan sebagainya, kita hendaklah sedar dan insaf bahawa bentuk ujian itu tidaklah seberat jika Allah uji dengan kesenangan, kekayaan dan kesihatan. Jadi, kita mesti bersabar dengan penuh reda dan yakin bahawa Allah pasti akan menolong untuk melepasi keadaan yang dialami.

Tetapi yang penting ialah seseorang itu mesti berikhtiar bersungguh-sungguh dan berdoa sepenuh hati dan bukan berserah diri bulat-bulat tanpa mengambil langkah pembetulan. Kata Shakespeare, seorang sasterawan Inggeris terkemuka, “Usaha yang anda mulai janganlah dihentikan sebelum merasai hasilnya.”

Kata pujangga, “Jika ditimpa musibah atau kesusahan bersuka rialah menjalani hari-hari yang terus berlalu kerana penggantian hari demi hari akan semakin mengurangi umur daripada kesusahan itu.

Kesusahan adalah satu rintangan umur seperti umur manusia yang tidak boleh kamu andaikan bilakah akan berakhir. Di sini dipetik kata-kata Dr Sidney Newton Bremer, seorang penulis dan motivator Barat, “Pelaut berpengalaman tahu dirinya bukanlah tandingan samudera. Tetapi, dia tahu mampu menakluki samudera. Dia tahu ada banyak batu karang dan arus, tetapi dia belayar mengelilinginya. Dengan penuh sabar dan sentiasa berikhtiar sedaya upaya akhirnya pelaut itu tercapai juga tujuannya.”

Begitulah analogi mengenai orang yang sabar yang akhirnya berjaya menggapai segala misi dan visi dalam kehidupan. ..

InsyaALLAH..segalanya atas izinNYA..

Regards,
Cik Nad.

Wednesday, August 5, 2009

Nisfu Syaaban

Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:


Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1.Solat sunat nisfu sya'aban - terdapat dua cara mengerjakan solat sunat ini

Sembahyang 100 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 11 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

Sembahyang 10 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 100 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya


i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman

3. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)


kwn2..esok nisfu Syaaban..marilah kita melakukan ibadah yg lebih mlm ni dan berpuasa sunat esok!semoga ALLAH memudahkan segala urusan kita..insyaALLAH..

Regards,
Cik Nad

Saturday, August 1, 2009

Lagi keistimewaan SYAABAN

Kemuliaan bln SYAABAN yg dikurniakan ALLAH SWT kpd MUHAMMAD S.A.W sepertimana kemuliaan MUHAMMAD darjatnya dan kejadiannya yg dikurniakan ALLAH begitulah SYAABAN sebagai bln MUHAMMAD.Bulan yg dikuniakan pahala ibadat hingga 700 kali ganda,bulan yg dikurniakan keampunan org2 yg beribadat dan yg memohon keampunan dan taubat kpd ALLAH dgn byknya dan mudah diperkenankan,terutama pd mlm NISFU SYAABAN yg teristimewa sekali.Demikian keistimewaan bln SYAABAN...

Marilah bersama berkongsi ilmu..

Regards,
Cik Nad.