Thursday, June 17, 2010

Manusia oh manusia..

Assalamualaikum,

Adatlah manusia,kebaikan yg menggunung tk nampak..tp sibuk mengkaji kesalahan yg sekecil-kecil semut.Perhubungan yg dibina bertahun-tahun,seperti angin lalu...hilang dipandangan mata,segala 'rasa' tercemar,kenangan indah kian kusam,pengorbanan disiakan,perasaan di persetankan,keikhlasan ditulikan,kejujuran tidak setelus dulu dan rasa rendah diri itu hilang!

Aku pernah meminjamkan bahuku utk menjadi tempat engkau menangis,aku pernah meminjamkan telingaku untuk mendengar luahan perasaan dan hatimu,aku meminjamkan kedua belah mataku untuk membaca bahasa tubuhmu,dan aku memberi masa emasku untuk menenangkan engkau.

Dimanakah 'engkau' yg selalu meminjam semua itu denganku?

Monday, June 7, 2010

Gila Kuasa Mengundang Celaka

BILA berkuasa jangan ada yang teraniaya. Jangan pula lupa kuasa dari yang Maha Esa. Gila kuasa mengundang celaka. Kelak mati terseksa dalam neraka.

Kuasa perlu kepada kefahaman iman, baru adil setiap perundangan. Naungan Tuhan perlu agar tidak keterlaluan pada setiap keputusan demi insan dan kesejahteraan.

Undang-undang Tuhan datang kepada insan yang beriman. Harta adalah ujian bagi kebijaksanaan demi untuk melaksanakan pentadbiran dan syiar keIslaman.

Hukum Tuhan keras demi kesejahteraan umat dan akhirat. Bijaksana dalam menjalani hukuman adalah dalil kepada pelaksanaan dan kehambaan.

Melaksanakan hukum Tuhan tanpa kefahaman dan keimanan adalah kejam pada pandangan.

Sesungguhnya iblis dan sekutu-sekutunya tidak berkuasa dari menahan manusia dari melakukan kebaikan dan keimanan serta mendekatkan diri kepada Tuhan yang Esa.

Thursday, June 3, 2010

Silalah hebahkan....

http://learnbahasamelayu.weebly.com/

Ini website berkenaan E-kamus yg dikendalikan oleh saya.Jadi tlglah sebarkan kpd rakan taulan dan sanak saudara sekiranya ada yg berminat utk memilikinya..

Semoga hari anda ceria & selalu diberkati =)

Regards,
Cik Nad

Wednesday, June 2, 2010

Kisah bulan terbelah dua

UMAT di zaman Rasulullah SAW dianggap sangat bertuah. Tidak sahaja mereka berpeluang bertemu dengan baginda namun yang lebih beruntungnya lagi dapat melihat sendiri segala kejadian-kejadian mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda.

Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, antara yang benar-benar berlaku dalam usaha Nabi Muhammad untuk menyakinkan kebenaran dakwah baginda itu.

Jika kita menjadi pengikut baginda ketika itu, tentu segala kejadian mukjizat yang berlaku akan menambahkan lagi keimanan atau kepercayaan kepada Allah SWT.

Namun, perkara seperti ini sukar diterima oleh puak-puak kafir Quraisy. Mereka tetap dengan sikap degil mereka.

Walaupun peristiwa Israk dan Mikraj tidak ada sebarang kesangsian, dengan segala macam bukti dan keterangan daripada al-Quran namun kedegilan tetap makin menebal!

Malah mereka sendiri kadang kala meminta baginda tunjukkan bukti! Kononnya dengan bukti tersebut mereka akan menyerah kalah kepada kebenaran.

Namun yang sebenarnya mempunyai niat yang busuk, kononnya Rasulullah tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk dek akal.

Andai, bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji Nabi.

Namun baginda tetap menyahut apa juga cabaran, asalkan mereka akhirnya percaya kepada keesaan Allah yang Maha Agung.

Iaitu pada suatu hari, sekumpulan pembesar Quraisy itu datang menemui baginda, iaitu di antara mereka termasuklah Al Walid Al Mughirah, Abu Jahal Hisham, Al As Wail, Al Aswad Muthalib, An Nadhru Al Harith.

Peristiwa ini dikatakan berlaku sebelum baginda melakukan hijrah ke Madinah dan diriwayatkan dalam banyak catatan sejarah sehinggalah mengikut sastera Melayu klasik sendiri, kisah bulan terbelah dua ini menjadi kisah-kisah penglipur lara yang popular.

Dalam Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat misalnya, ada diceritakan mengenai kisah bulan terbelah ini, pada bahagian kedua dari tiga bahagian yang ada, iaitu: Hikayat Nabi Bercukur iaitu menceritakan mukjizat Nabi SAW, kisah bulan terbelah.

Hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam rumi dengan tajuk Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Para pembesar itu mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat yang mereka mahu melihat sendiri melalui mata kepala walaupun mereka sepatutnya telah beriman dengan pengalaman perjalanan Nabi Muhamad sepanjang Israk dan Mikraj itu yang lalu, adalah benar.

Mereka berkata, "Jika kamu seorang yang benar (seorang nabi yang diutuskan oleh Allah) belahkan bulan yang sedang mengambang penuh pada malam ini kepada dua bahagian".

"Adakah jika permintaan ini dipenuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah Allah, tuhan yang satu?" kata baginda pula.

Pembesar-pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang Rasulullah berikan.

Lalu baginda pun berdoa dan memohon kepada Allah untuk membelah bulan sebagai perkara yang luar biasa untuk dijadikan tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi.

Sejurus kemudian tanpa disangka oleh para pembesar Quraisy itu mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian.

Tetapi terpisah menjauhkan diri antara satu sama lain.

Separuh boleh dilihat di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh atau sebahagian bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.

Bulan tidak lagi berbentuk bulat sebagaimana lazimnya!

Mereka yang menyaksikan dalam antara percaya dengan tidak, hampir-hampir tidak mendengar apabila baginda berkata; "Saksikanlah kejadian ini iaitu sebagai bukti kebenaran mukjizat yang dikurniakan Allah dan risalah kenabian yang Allah amanahkan kepadaku,"

Begitu pun setelah menyaksikan kejadian yang sungguh luar biasa itu pun, kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apa tah lagi untuk menerima dakwah nabi.

Sedangkan kejadian bulan terbelah ini memang benar-benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang mempertikaikannya kerana bertentangan dengan sains dan akal yang waras namun atas nama mukjizat, kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagaimana kebanyakan mukjizat-mukjizat yang Allah berikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad.

Ini termasuk mukjizat Nabi Isa a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, tiada sesiapa yang dapat pertikaikan lagi.

Walaupun pada hakikatnya, yang mati tetap akan mati, tidak mungkin akan hidup kembali.

Kejadian bulan terbelah dua ini sebenarnya disaksikan oleh seluruh penduduk Tanah Arab ketika itu malah sebenarnya seluruh semenanjung Tanah Arab termasuk negara-negara lain yang mengalami waktu malam pada hari kejadian tersebut.

Tetapi sayangnya, mereka yang meminta supaya ditunjukkan sebarang kejadian luar biasa, akhirnya mereka sendiri tidak mahu percaya walaupun bulan benar-benar telah terbelah di hadapan mata!

Kafir Quraisy sangat mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi.

Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi dituduhnya pula baginda seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut!

Ini sebagaimana disebutkan dalam al-Quran; Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata: "Ini adalah sihir yang luar biasa" dan mereka mendustakannya dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya. (al-Qamar: 1-3)

Sebenarnya tidak menghairankan jika mereka tidak percaya, malah membuat pelbagai pertikaian termasuk sihir dan sebagainya. Ini termasuklah Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikan kejadian itu walaupun melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.

Kerana itulah sifat degil yang dimiliki oleh kalangan kafir Quraisy, yang tidak mahu menyertai baginda kerana bimbang akan dipersendakan oleh mereka yang lain.

Sedangkan mereka juga bertanyakan kepada kafilah-kafilah yang selamat sampai ke Kota Mekah selepas berdagang di luar kota, adakah para pedagang itu juga melihat kejadian bulan terbelah itu semasa dalam perjalanan pulang itu.

Bulan terbelah dua

Masing-masing mengakui ada melihat kejadian bulan terbelah dua itu dan sangat tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku.

Apabila mendengarkan itupun, kalangan kafir Quraisy masih enggan untuk mempercayai Nabi Muhammad. Sedangkan jika baginda melakukan sihir, tentunya yang disihir hanya penduduk Mekah atau kalangan kafir Quraisy itu sahaja tidak mungkin melibatkan sehingga ke kawasan luar Kota Mekah.

Walau apa pun, kejadian yang sedemikian luar biasa, sebagai tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung dan Maha Esa, langsung tidak dapat diterima oleh musuh-musuh baginda.

Pastinya kekecewaan menjalar masuk ke hati baginda walaupun ia begitu menguatkan lagi keimanan kepada para pengikut baginda yang setia dan taat.

Para pengikut baginda malah sesiapa pun sebenarnya mungkin agak ketakutan apabila tanpa disangka bulan boleh terbelah dua, tetapi mujur sahaja objek yang menerangi malam itu bercantum semula.

Namun, pengajarannya menunjukkan bahawa Allah itu sangat berkuasa, boleh melakukan apa sahaja; kun faya kun!

Tiada tandingannya dan sebagai hamba-hamba-Nya sewajibnya kita sujud dan menginsafi diri.

Tuesday, June 1, 2010

Abu Bakar as-Siddiq seorang peniaga kain

ABU Bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 573 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah. Berasal dari keturunan Bani Tamim, Abu Bakar terkenal sebagai seorang usahawan yang berjaya. Semasa hidupnya, beliau pernah menjadi penjual kain.

Sebelum memeluk agama Islam beliau terkenal dengan gelaran Abdul Kaabah. Selepas Abu Bakar memeluk Islam, gelaran as-Siddiq diberikan oleh Nabi Muhammad kepadanya kerana keikhlasan dan kejujurannya mengembangkan agama Islam.

Beliau juga taat dan setia kepada Nabi Muhammad.

Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pada tahun 11 Hijarah dan meninggal dunia pada 13 Hijrah.

Walaupun bergelar khalifah, Abu Bakar masih terus berniaga bagi menyara kehidupan keluarganya.

Malah pada hari selepas dilantik sebagai khalifah, beliau tetap berniaga kain di pasar.

Semasa dalam perjalanan ke pasar beliau terjumpa sahabatnya, Umar.

Selepas Umar melihat kelibat Abu Bakar, beliau hairan dan bertanya sendirian: "Bukankah Abu Bakar sudah dilantik menjadi khalifah. Mengapakah beliau masih lagi berniaga di pasar?"

Tanpa berlengah, Umar terus bertanya kepada Abu Bakar. "Adakah kamu hendak ke pasar?"

"Ya. Saya perlu berniaga pada hari ini bagi mencari rezeki," jawab Abu Bakar sambil memegang kain-kain yang mahu dijualnya itu.

Umar menjadi semakin hairan dan bertanya: "Sekiranya kamu masih sibuk dengan perniagaan kain, siapakah yang melaksanakan tugas sebagai seorang khalifah?"

Lalu Abu Bakar menjawab: "Saya perlu mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga saya. Sekiranya saya tidak berniaga seperti ini, saya tidak dapat menyara kehidupan keluarga saya. Siapa yang perlu membantu saya mencari rezeki ini?"

Selepas mendengar penjelasan Abu Bakar, Umar terus mengemukakan ideanya. Umar mencadangkan supaya mereka berjumpa ketua pegawai Baitulmal, iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah.

"Mari kita berjumpa Abu Ubaidah. Beliau ialah ketua pegawai Baitulmal. Kamu perlu mendapatkan bantuan wang sara diri daripada Baitulmal," kata Umar kepada Abu Bakar.

Mereka berdua pergi berjumpa ketua pegawai Baitulmal. Sampai sahaja di sana, Abu Ubaidah berkata: "Wang sara diri yang saya berikan kepada Abu Bakar serupa dengan wang sara diri yang diterima oleh orang yang layak menerima bantuan, tidak lebih atau kurang."

Bermula dari hari itu, Abu Bakar menerima bantuan wang sara diri daripada Baitulmal. Abu Bakar juga menumpukan sepenuh masanya menguruskan negaranya. Beliau tidak lagi menjalankan perniagaannya.

wang sara diri

Pada suatu hari, isteri Abu Bakar mahu makan makanan yang enak. Pada waktu itu Abu Bakar tidak mempunyai wang bagi membeli makanan itu kerana kehidupan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada wang Baitulmal.

Isterinya mendapat satu idea: "Saya cuba bahagikan wang sara diri yang kita dapat ini sedikit demi sedikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Apabila wang itu sudah cukup, dapatlah saya beli makanan yang saya idam-idamkan itu".

Kemudian Abu Bakar menjawab, "Saya bersetuju dengan pendapat kamu itu".

Lama kelamaan wang yang disimpan oleh isterinya semakin banyak. Wang itu sudah cukup bagi membeli makanan yang dimahukan oleh isterinya.

Pada hari isterinya mahu pergi membeli makanan itu, Abu Bakar merasakan bahawa wang sara diri yang diterimanya sudah berlebih-lebihan. Wang itu sudah melebihi daripada keperluan hidup keluarganya.

"Isteriku, saya rasa elok kita kembalikan semula wang yang terlebih itu kepada pihak Baitulmal," kata Abu Bakar kepada isterinya.

Isterinya tidak membantah suruhan suaminya itu. Malah Abu Bakar turut meminta pihak Baitulmal mengurangkan bayaran wang sara diri yang diperolehinya itu.

Begitulah kehidupan seharian Abu Bakar. Hasil usahanya menjadi peniaga mendatangkan pendapatan yang cukup bagi menampung keperluan hidup keluarganya.

Menurut anaknya Aisyah, selepas meninggal dunia, Abu Bakar ada meninggalkan seekor unta betina, sebuah mangkuk dan seorang orang gaji. Malah Abu Bakar juga berpesan menyerahkan kebun kurma yang dimilikinya kepada Baitulmal.

Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau mahu menggantikan semula wang sara diri yang diterimanya daripada Baitulmal selama beliau menjadi khalifah.