DARI segi bahasa Arab, neraka disebut an-nar manakala dalam istilah ilmu teologi disebut tempat menerima azab sengsara daripada Allah yang diberikan kepada orang yang ingkar perintah-Nya.Azab yang akan diterima sangat dahsyat. Kepanasan apinya lebih 70 kali ganda kepanasan api terpanas didunia.
Setiap orang yang dimasukkan ke dalamnya akan menerima azab yang sangat pedih. Mereka tidaklah diringankan daripada seksaan melainkan terhadap Abu Talib.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya seringan-ringan azab penduduk neraka ialah Abu Talib, dia dibakar menerusi sepasang seliparnya yang menyebabkan otaknya bergelegak." (Hadis riwayat Muslim)Sebagaimana syurga mempunyai aneka kelebihan dan keindahan, neraka pula mempunyai beraneka keseksaan.Dalam satu riwayat yang diceritakan Saidina Umar al-Khattab: "Telah datang Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w bukan pada waktu biasa ia datang, Rasulullah lalu berdiri mendapatkan dan berkata: "Hai Jibril, kenapa saya lihat warnamu berubah? Jibril menjawab: Aku diperintahkan Allah untuk menerangkan semburan api neraka. Berkata Rasulullah: Terangkanlah kepadaku keadaan neraka dan perihal Jahanam? Berkata Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintah agar api Jahanam dinyalakan selama 1,000 tahun, sehingga warna apinya berubah menjadi merah, lalu diperintahkan menyalakan apinya selama 1,000 tahun lagi, sehingga warna apinya berubah menjadi hitam, hitam yang gelap sehingga tidak bersinar lagi gejolakannya dan tidak padam bakarannya. "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau dibukakan Jahanam itu sebesar lubang jarum, akan terbakarlah bumi ini serta segala isinya kerana panasnya. "Dan, demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, jika seorang daripada penjaga neraka itu didatangkan ke bumi oleh Allah, akan matilah seluruh manusia di bumi ini kerana keburukan rupa dan kebusukannya. "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran jika satu lingkaran dari rantai neraka diletakkan di atas sebuah gunung di dunia ini, akan tembuslah gunung itu sampai ke dasar bumi yang paling bawah.Maka, berkata Rasulullah s.a.w: Untunglah ya Jibril...jantungku tidak sampai pecah sehingga aku mati mendengar keteranganmu."Begitulah dahsyatnya tempat yang akan diduduki orang yang derhaka dan kafir. Dalam keadaan mereka dibakar sebagai kayu api neraka, mereka dihidangkan pula air tembaga yang mendidih, air nanah menjijikkan, air besi, air timah yang menggelegak serta pohon zaqum berduri sebagai minuman serta makanan mereka.
Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kengerian neraka. Antara ayat al-Quran yang boleh kita rujuk ialah ayat 29 surah al-Kahfi, maksudnya: "Katakanlah: Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, sesiapa yang beriman, hendaklah ia beriman dan sesiapa yang kufur, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami sediakan bagi orang zalim itu api neraka yang meliputi mereka dan jika meminta minuman, mereka diberi minum air seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang."Dalam surah al-Waqiah, ayat 51-55, menceritakan: "Kemudian sesungguhnya kamu wahai orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat). " Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum. Maka kamu akan memenuhi perut kamu daripada pokok (yang pahit buahnya) itu. Selepas itu kamu akan minum pula daripada air panas yang menggelegak. Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas." Neraka juga mempunyai pelbagai gelaran dan jenisnya, malah ada ahlinya yang tersendiri akan menghuninya. Menurut al-Quran, neraka itu ada disebut dengan pelbagai nama, seperti Jahanam, Hutamah, Sa'ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah.Contohnya dengan nama al-Hutamah, yang dapat dilihat pada surah al-Humazah, maksudnya: "Kecelakaan besar bagi setiap pencaci, pengeji. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam Al-Hutamah.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Al-Hutamah itu? (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya). Yang naik menjulang ke hati. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang palang yang melintang panjang."
Antara ahli neraka ialah orang yang mendustai hari kiamat, orang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsu semata-mata, penyembah berhala, orang musyrik (orang mempersekutukan sesuatu selain Allah), orang zalim (suka membuat aniaya kepada orang lain) dan orang derhaka kepada perintah Allah (golongan yang ingkar). Begitu juga dengan orang makan harta orang lain secara batil seperti mencuri, merampas dan merompak harta orang atau menggunakan taktik tertentu seperti menipu dan sebagainya untuk mendapatkan hak orang. Mereka ini akan diseksa di neraka.
Wallahualam...
Regards,
Cik Nad