NAMA sebenar Ummu Rauman ialah Zainab binti Amir bin Uwaimir. Dia berkahwin dengan Abdullah bin al-Haris al-Uzdzi. Suaminya merupakan kawan baik dengan Abu Bakar as-Siddiq. Sifat-sifat baik yang ada pada Abu Bakar terpancar pada sikap dan tingkah laku suami Ummu Rauman.
Ummu Rauman dan suaminya tinggal di kota Makkah. Mereka mendapat seorang anak yang diberi nama ath-Thufail. Selepas beberapa lama tinggal di Mekah, suaminya meninggal dunia.
Kematian Abdullah sangat menyedihkan Ummu Rauman. Bagi Ummu Rauman, kematian suaminya adalah satu ujian baginya. Selepas beberapa lama kemudian, kesedihan Ummu Rauman terubat apabila dia dilamar oleh Abu Bakar as-Siddiq.
"Beruntung benar Ummu Rauman. Dia dilamar oleh Abu Bakar. Abu Bakar seorang lelaki yang baik. Dia sering membantu orang yang susah, menghormati tetamu, suka menyambung tali silaturrahim dan suka menegakkan kebenaran," kata seorang perempuan.
Perkahwinan Ummu Rauman melahirkan dua orang anak yang bernama Abdurrahman dan Aisyah. Ummu Rauman seorang wanita yang baik budi pekertinya.
Nabi Muhammad menghormati keluarga Ummu Rauman dan Abu Bakar sehingga beliau mengambil keputusan untuk melamar anak perempuan mereka iaitu Aisyah binti Abu Bakar.
Nabi Muhammad mengutuskan Khaulah binti Hakim pergi melamar Aisyah. Khaulah berkata kepada Ummu Rauman, "Wahai Ummu Rauman, Nabi Muhammad ingin melamar Aisyah".
"Benarkah?" tanya Ummu Rauman tidak percaya.
Khaulah tersenyum sambil berkata: "Ya. Nabi Muhammad telah menyebut nama Aisyah sebagai calon isterinya. Selepas kematian Siti Khadijah, Nabi Muhammad sering bersedih. Lamaran terhadap Aisyah merupakan satu keputusan yang telah dibuatnya".
"Saya perlu sampaikan berita ini kepada Abu Bakar terlebih dahulu," kata Ummu Rauman seperti tidak sabar-sabar menanti kepulangan suaminya.
Berjaya melamar Aisyah
Apabila Abu Bakar pulang ke rumah, Ummu Rauman pun menceritakan kisah yang berlaku tadi. Abu Bakar mendengar berita lamaran Nabi Muhammad dengan perasaan serba salah.
Abu Bakar pun berkata kepada isterinya: "Aisyah telah dilamar oleh Muth'im bin Adiy untuk anak lelakinya. Saya tidak boleh mungkir janji."
Ummu Rauman terdiam seketika. Dia juga memikirkan bahawa janji yang telah dibuat oleh suaminya patut ditunaikan.
Sebentar kemudian Abu Bakar berkata lag: "jika begitu saya perlu berjumpa dengan Muth'im terlebih dahulu. Saya perlu dapatkan keputusan sama ada mereka benar-benar inginkan Aisyah menjadi menantu mereka."
"Saya berpendapat cara itu adalah yang terbaik buat kita," kata Ummu Rauman pula.
Abu Bakar pergi berjumpa Muth'im. Isteri Muth'im turut berada di rumahnya. Abu Bakar pun bertanya: "Jadikah awak mengambil Aisyah sebagai menantu awak?"
Muth'im mendengar pertanyaan Abu Bakar lalu bertanya kepada isterinya: "Awak setujukah untuk menikahkan anak kita dengan Aisyah?"
Isteri Muth'im pun memberitahu Abu Bakar: "Sekiranya anak saya berkahwin dengan Aisyah sudah tentu anak saya akan masuk Islam."
Muth'im dan keluarganya belum memeluk agama Islam. Perkara itu membimbangkan Muth'im dan isterinya.
"Beginilah Abu Bakar, saya dan isteri sudah sepakat tidak jadi menikahkan anak kami dengan puteri awak. Maafkan kami," jelas Muth'im kepada Abu Bakar.
"Jika itu keputusan awak, saya menerimanya dengan hati yang terbuka," balas Abu Bakar pula.
Abu Bakar pulang ke rumah. Di rumahnya, Ummu Rauman sedang menanti kepulangan suaminya itu.
"Bagaimana? Jadikah mereka mengambil Aisyah sebagai menantu," tanya Ummu Rauman tidak sabar-sabar menantikan jawapan dari suaminya.
Abu Bakar menjawab dengan tenang: "mereka tidak sanggup mengahwinkan anak lelaki mereka dengan Aisyah kerana mereka tidak mahu anaknya memeluk agama Islam."
"Syukur, dapatlah Aisyah berkahwin dengan Nabi Muhammad," bisik Ummu Rauman sendirian.
Nabi Muhammad berjaya melamar Aisyah. Pada tahun 2 Hijrah Nabi Muhammad berkahwin dengan Siti Aisyah. Perkahwinan mereka disambut dengan gembira.
Ummu Rauman seorang ibu yang baik. Dia banyak membantu Nabi Muhammad dalam usaha menyebarkan agama Islam. Nabi Muhammad sangat menghormati ibu mertuanya.
Ummu Rauman meninggal dunia pada tahun 6 Hijrah. Semasa Ummu Rauman meninggal dunia, Nabi Muhammad berdoa supaya Allah mengampuni segala dosa Ummu Rauman.
Nabi Muhammad juga pernah berkata: "sesiapa yang ingin melihat wanita bidadari dari syurga, maka lihat Ummu Rauman."
No comments:
Post a Comment