Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah
S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit
Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa
sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang
di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan
mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah
mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan
mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan
akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya
bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan
masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan
melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi
Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam
hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap
sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.
Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor
babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.
Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih
sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa
agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
"Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata
Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah
ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar,
Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal
dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku
sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari
aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku
bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang
sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu
lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai
Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil
baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang
sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan
maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di
maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat
kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami
pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang
soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka
pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada
ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti
babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat
kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan
urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau
banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan
kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua
ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam
kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran
wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah
dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di
sisi Allah.
No comments:
Post a Comment