Tuesday, December 29, 2009

KISAH UNTA MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan
menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu
Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini
tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap
Rasulullah S.A.W.

Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada
kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali
membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka
hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia
mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu
sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk
dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah
kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya
atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orangorang
Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang
menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi
Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga
Muhammad. Teruskan niatmu."

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar
kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad
S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka
selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan
agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira
perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W
berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk
membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha
Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali
membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun
terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W
bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan
dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa
orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya
ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu
di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi
Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum
sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan
tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum QUraisy
akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh
nombor satu mereka.

Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya
Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan
sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan
kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah
terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari
itu.

Sebaik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula
bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke
arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati,
setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas
bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah
engkau hai Muhammad."

Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan
menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke
belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi
merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya
yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh,
tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan
kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera
menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih
terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.

Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak
sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya
bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal?
Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad
ketika dia sedang sujud tadi?"

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan.
Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan
menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru
menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya,
malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang
menimpa dirinya.

Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W
pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda
bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak
berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor
harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai
soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk
pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad
hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta
yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah
melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan
niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku
berundur dan membatalkan niatku."

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu,
mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak
membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang
yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W
dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu,
maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan,
"Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami
memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau
katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang
diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa merekareka
cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya.
Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.

No comments: