JA'DAH binti Ubaid bin Tsalabah al-Anshariyah an-Najjariyah adalah ibu kepada seorang sahabat Nabi Muhammad. Anaknya bernama Harisah bin Nu'man adalah seorang sahabat yang terkenal.
Ja'dah berkahwin dengan an-Nu'man bin Nafi' an-Najjari. Kemudian perkahwinan itu tidak kekal lama. Setelah dia berpisah dengan suaminya, seorang lelaki bernama al-Habbab bin al-Arqam telah melamarnya. Hasil perkahwinan itu lahir seorang anak lelaki yang bernama al-Haris.
Adik-beradik Ja'dah iaitu Amru, Afra dan Khaulah menyokong tindakan Ja'dah memeluk Islam dan berbaiah kepada Nabi Muhammad. Mereka adik-beradik tidak mahu ketinggalan mendapat cahaya Islam
Ja'dah adalah jiran Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sering menziarah Ja'dah dan keluarganya. Ja'dah merupakan seorang jiran yang baik. Dia tidak pernah kedekut atau mementingkan diri sendiri. Malah dia suka bersedekah dan murah hati.
Nabi Muhammad pernah dijemput makan di rumah Ja'dah. Semasa berada dirumah Ja'dah, Nabi Muhammad akan berbual dengan Harisah bin Nu'man dan ibunya.
Ja'dah juga merupakan ibu yang baik. Dia pandai mendidik anaknya sehingga anaknya menjadi seorang pahlawan Islam yang terkenal. Semasa perang Badar, Harisah telah bersama-sama mengikuti tentera Islam menghadapi musuh di medan perang.
Harisah dididik oleh ibunya supaya sentiasa menolong orang. Sikapnya yang suka menolong itu dapat dilihat apabila dia menolong Nabi Muhammad bagi mendapatkan sebuah rumah.
Kisahnya berlaku apabila Nabi Muhammad berkahwin dengan Mariam al-Qibtiyah dan ingin membawa isteri barunya pulang ke rumah.
"Ibu dengar Nabi Muhammad sudah berkahwin lain," kata Ja'dah kepada anaknya.
"Ya ibu. Saya juga dapat berita yang sama," kata Harisah.
Ja'dah dan anaknya adalah jiran yang paling dekat dengan rumah Nabi Muhammad. Dia ingin membantu Nabi Muhammad.
"Pada pendapat ibu, sudah tentu Nabi Muhammad ingin menempatkan isteri barunya di rumah yang lain. Tambahan pula apabila isteri-isterinya tahu Nabi Muhammad berkahwin lagi, mereka tentu cemburu," jelas ibunya.
Ja'dah memandang wajah anaknya. Sementara anaknya turut memerhatikan ibunya.
Sebentar kemudian Ja'dah berkata lagi kepada anaknya, "Ibu faham perasaan seorang wanita apabila mendapat tahu suaminya berkahwin lagi. Isteri-isteri Nabi Muhammad tentu akan cemburu apabila mendengar berita ini," jelas ibunya panjang lebar.
Harisah seorang anak yang baik dan mendengar kata ibunya. Lalu Harisah pun berkata, "Benar kata ibu. Elok rasanya Nabi Muhammad menempatkan isteri barunya di rumah yang lain."
Harisah terdiam seketika. Dia memikirkan rumah yang sesuai untuk isteri baru Nabi Muhammad itu. Harisah mempunyai beberapa buah rumah yang berdekatan dengan rumah Nabi Muhammad. Hal ini berlaku kerana setiap kali Nabi Muhammad mendapat keluarga baru pasti Harisah akan menawarkan diri dan mengizinkan rumahnya digunakan oleh Nabi Muhammad.
"Baik, saya bersetuju untuk membenarkan Nabi Muhammad tinggal di rumah ini. Saya akan mengemas barang-barang yang ada dan mengosongkan rumah ini," jelas Harisah kepada ibunya.
"Semoga Allah membalas jasa baik anak ibu ini," kata Ja'dah pula.
Ja'dah gembira mempunyai anak seperti Harisah. Dia bersyukur kepada Allah kerana anaknya mempunyai akhlak yang baik dan sanggup berbakti kepadanya. Harisah berjumpa dengan Nabi Muhammad dan menyatakan hasratnya itu.
"Wahai tuan, selamat pengantin baru," kata Harisah kepada Nabi Muhammad.
"Terima kasih," jawab Nabi Muhammad.
"Tuan, saya ingin beritahu tuan bahawa tuan boleh bawa isteri baru tuan ini ke rumah saya. Tuan boleh tinggal di rumah itu selama mana yang tuan suka. Saya sudah mengosongkan rumah itu untuk keselesaan tuan dan isteri baru tuan ini," jelas Harisah kepada Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad terharu dengan keputusan yang dibuat oleh Harisah. Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya malu terhadap Harisah kerana sanggup berpindah dari satu rumah ke satu rumah yang lain semata-mata untuk saya dan isteri."
Begitulah sikap Harisah apabila Nabi Muhammad mendapat keluarga baru. Dia pasti akan berpindah rumah bagi menyediakan rumah untuk Nabi Muhammad. Ini adalah hasil didikan yang suci dan murni dari ibunya.
No comments:
Post a Comment